TERAPI HATI YANG KECEWA
Setiap yang bernama manusia tidak akan lari daripada perkara yang mengecewakan. Inilah juga namanya fitrah sebuah kehidupan.
Ada yang kecewa disebabkan kematian insan tersayang, ada yang kecewa kerana putusnya sebuah hubungan bahkan ada yang kecewa disebabkan hidup yang tidak pernah surut dengan ujian.
Kalaulah kita faham hidup ini kembarnya ujian pasti tidak ada lagi yang merungut akan keperitan yang sedang dilalui. Malah, jiwa menjadi tenang dengan ketetapan yang telah dtentukan.
Walau apapun kekecewaan yang berlaku, percayalah, Allah tidak akan pernah meninggalkan kita sendirian. Dia pasti akan berikan jalan keluar agar kita selamanya tidak berada dalam kesedihan.
Perkara pertama apabila berhadapan dengan kekecewaan ialah dengan MENERIMAnya terlebih dahulu dengan hati yang lapang. Orang kata masa akan menyembuhkan tetapi jika hati menolak untuk menerima sampai bila-bila jiwa tidak sembuh bahkan berada dalam kebuntuan.
Kemudian, carilah penyelesaian dengan solat dan sabar kemudian barulah berusaha serta tawakal. Dengan kata lain letakkan Allah di tempat pertama dalam segenap urusan dan rasai betapa Allah itu sentiasa ada dan amat dekat dengan kita.
Seterusnya menganggap kekecewaan yang terjadi adalah untuk mengajar kita menjadi seorang yang tabah dan bijak mengurus emosi. Betapa ramai yang ‘jatuh’ saat Allah mencuitnya dengan cubaan sehingga berani mempersoal “kenapa Allah uji aku dan bukan orang lain?” Syukurlah, Allah memilih kita untuk diuji kerana di situlah Allah sedang memberi kasih buat hamba yang terpilih.
Sahabat, jangan cepat berprasangka dengan Allah kerana kekecewaan itu adalah teguran buat kita yang semakin jauh daripada-Nya. Munajatlah kepada Allah agar suatu masa nanti kecewa akan hilang dan hadir pula sebuah ketenangan yang amat ditunggu-tunggu.
Insya Allah.